Thursday, December 31, 2009

Bayaran tambahan tidak membebankan

KUALA LUMPUR 29 Dis. - Bayaran tambahan persekolahan yang akan diseragamkan Kementerian Pelajaran bermula tahun depan tidak membebankan, malah lebih rendah berbanding tahun ini. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran tambahan tidak harus disalahertikan dengan pembayaran lain yang bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). "Bayaran tambahan yang diseragamkan merangkumi aktiviti kokurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan sekolah, kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Insurans Takaful. Pembayaran lain seperti majalah sekolah, program kelas komputer dan tuisyen adalah bergantung kepada persetujuan antara pihak sekolah dan PIBG," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kekeliruan yang timbul berikutan kadar pembayaran tambahan yang diseragamkan untuk pelaksanaan sesi persekolahan 2010. Kelmarin, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, kementerian tidak menetapkan harga siling bayaran tambahan yang boleh dikutip daripada ibu bapa oleh PIBG sekolah-sekolah. Dalam perkembangan berkaitan, Alimuddin berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menetapkan harga siling bagi pembayaran lain yang boleh dikutip PIBG, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada pihak sekolah.
"Sekolah di Kuala Lumpur tidak sama dengan sekolah di kawasan pedalaman Sabah. Mungkin wang RM10 di luar bandar nilainya tinggi tetapi di Kuala Lumpur, ia hanya sekadar harga sekotak rokok," katanya.
Walaupun begitu, katanya, bagi mengelakkan kutipan wang yang terlalu tinggi, PIBG sekolah harus berhubung dengan Jabatan Pengarah Pelajaran Negeri terlebih dahulu untuk mendapatkan kelulusan.

Sumber : Utusan Online

PERUTUSAN KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, salam sejahtera dan selamat menyambut tahun baru 2010 kepada semua warga pendidik serta murid-murid sekolah.
Guru-guru serta Murid-murid yang dikasihi sekalian,
Izinkan saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan memulakan lembaran baru pada sesi persekolahan 2010. Kepada guru-guru, sambutlah anak-anak didik kita ini ke alam sesi persekolahan yang baru dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam untuk membentuk mereka menjadi insan yang cemerlang seperti yang diharapkan oleh ibu bapa mereka dan negara.
Kepada murid-murid sekalian, ingatlah, sebagai generasi pewaris negara usaha murni menuntut ilmu dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti baik di dalam bilik darjah mahupun gerak kerja di luar bilik darjah adalah satu usaha membentuk personaliti, ketrampilan diri dan jati diri sebagai anak Malaysia. Ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara akan sama-sama berasa bangga apabila murid-murid berjaya dalam pelbagai bidang yang dipelajari di sekolah.
Saya menyeru kepada semua murid rebutlah peluang dan segala kemudahan yang disediakan di sekolah untuk menyiapkan diri sebagai orang yang berilmu, beramal dan menyumbang kepada kemajuan diri, masyarakat dan negara. Modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan dalam sekelip mata, bahkan ianya adalah usaha yang berterusan yang perlu dipupuk, dibimbing dan diasah bakat seperti kata pepatah, melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Pepatah juga mengatakan, “Akar ilmu itu memangnya pahit tetapi buahnya adalah lazat”. Maka sebagai murid, anda semua yang seharusnya berusaha untuk menjadi orang yang berpelajaran kerana pencapaian dalam masa persekolahan merupakan kenangan yang paling manis untuk diimbau kelak.
Para guru dan murid-murid sekalian,
Yang muda dikasihi, yang tua dihormati adalah satu perpatah yang perlu dipegang oleh semua guru dan murid-murid. Guru selaku suri teladan perlulah menunjukkan kasih kepada anak-anak murid mereka. Guru sabagai satu personalia seharusnya dapat menggunakan kebijaksanaan untuk menyentuh jiwa dan perasaan semua murid semasa berkomunikasi dua hala supaya ianya ibarat kata-kata yang terpahat di batu, kekal dalam ingatan, dan tidak hanya menjadi tulisan di atas pasir, yang hilang apabila di tiup angin.
Dalam alaf nano teknologi ini, semua pendidik perlu menyiapkan diri untuk mengemaskinikan semua fakta dan ilmu yang hendak disampaikan dalam mata pelajaran masing-masing. Gunakanlah kemudahan teknologi komunikasi maklumat untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran yang di sampaikan satu peristiwa yang sangat menyeronokkan kepada semua murid, bahkan para guru juga turut memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa berinteraksi dengan murid-murid.
Sebagai pendidik, semua guru harus menjiwai profesion ini kerana ianya merupakan satu profesion amat mencabar. Kalau seorang tukang jahit salah menjahit baju, hanya sehelai baju yang rosak tetapi jika seorang pendidik salah memberi didikan, kesannya adalah kepada satu generasi pewaris negara. seperti yang diungkapkan oleh Allahyarham Dato' Usman bin Awang (1979), "Berburu ke padang datar, Dapat rusa belang kaki, Berguru kepalang ajar Ibarat bunga kembang tak jadi”
Saya ingin menyeru kepada guru untuk memberi dedikasi, komitmen, dan keprihatinan yang tinggi kepada semua anak-anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat yang ada dalam setiap anak murid. Maka guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggunakan maklumat ini bagi menggilap bakat dan memperkukuhkan potensi diri murid-murid untuk berjaya dalam semua bidang yang diceburi serta mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.
Para guru dan murid sekalian,
Dalam memastikan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang disampaikan kepada murid-murid, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjadikan empat perkara sebagai fokus utama dalam bidang keberhasilan utama; iaitu Perluasan Prasekolah, Literasi dan Numerasi (Linus), Sekolah Berprestasi Tinggi, dan New deals for principals. Maka semua warga pendidik perlu menyambut perubahan yang sedang berlaku ini dengan tangan terbuka dan minda yang positif (positive mind-set) bagi memastikan semua yang di rencana dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan membuahkan hasil yang menunjukkan peningkatan dalam kualiti pendidikan di negara ini. Guru sebagai sumber ilmu perlu memantapkan diri melalui pendidikan berterusan. Penyertaan guru dalam pelbagai wacana dan forum serta kegiatan di pusat-pusat kegiatan guru adalah satu usaha yang berterusan dan perlu difokuskan untuk menambah ilmu serta pengetahuan kerana guru bukan saja sebagai penyampai ilmu bahkan orang yang bertanggungjawab untuk membentuk kaedah pemikiran positif dalam kalangan anak-anak murid. Pepatah ”jangan diberi ikan, tetapi ajarlah memancing ikan” adalah satu pepatah yang sangat hampir dengan profesion perguruan.
Para guru dan murid-murid yang saya kasihi,
YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran menyarankan sukan perlu diperkasakan. Maka bagi mencapai hasrat tersebut para guru dan murid-murid seharusnya bergiat aktif dalam pelbagai bidang sukan mahupun aktiviti kokurikulum sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dan juga kecemerlangan sukan untuk negara.
Kepada murid-murid yang baru sahaja berjaya dalam peperiksaan UPSR dan PMR, saya mengucapkan tahniah dan teruskan perjuangan anda dalam usaha mencari ilmu dan pengalaman. Bagi murid-murid yang baru memasuki Tahun 1, jangan risau dan bimbang kerana seperti kakak dan abang-abang anda, sudah pasti pengalaman persekolahan akan menjadi satu yang menyeronokkan kerana anda akan memperoleh ramai kawan-kawan baru serta mendapat ilmu pengetahuan yang amat berguna sebagai persiapan menghadapi hari muka.
Harapan saya, kepada semua guru dan murid, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memajukan diri, masyarakat dan negara dalam semangat gagasan “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Dan Pencapaian Diutamakan”.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
4 Januari 2010, bersamaan 18 Muharam 1431

Thursday, December 24, 2009

KEPUTUSAN PMR 2009

Khamis, 24 Disember 2009 - Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 diumumkan serentak di seluruh Malaysia. Secara keseluruhannya, keputusan tahun 2009 adalah lebih baik berbanding tahun 2008. Di Sekolah Menengah Kebangsaan Undang Rembau, seramai 10 orang cemerlang mendapat semua A bagi semua matapelajaran berbanding 8 orang tahun 2008. Semantara 14 orang mendapat 7A 1B. Keputusan diumumkan oleh Encik Adnan bin Abdul Rahman, Guru Penolong Kanan 1 SMKUR pada jam 11.30 pagi di Balai Ilmu SMKUR. Beliau berkata, keputusan tahun ini meningkat berbanding tahun lepas. Slip Peperiksaan disampaikan oleh Datuk Nizam bin Datuk Lela Maharaja Haji Muhammad Sharif, Yang Dipertua PIBG SMKUR.

Senarai Pelajar Cemerlang semua matapelajaran :

1. Hakim Mubin bin Tamrin Rashid Manan - 8A
2. Luqman bin Abdul Hakim - 8 A
3. Muhd.Nazrin bin Zubir - 8A
4. Muhammad Nazri bin Ramli - 8A
5. Nur Syafiera Azreen bt. Nordin - 8A
6. Nur Syahirah bt. Joha - 8A
7. Nur Hanisah bt Mislam - 8A
8. Siti Khairunnisa bt Mohd Razali - 8A
9. Tee Deegen - 8A
10. Alvin Soo Chun Kit - 7A




Monday, December 14, 2009

Majlis Penyerahan Makmal Sains

Makmal Baru SMK Undang Rembau

Selasa, 15 Disember 2009 - SMKUR secara rasminya menerima bangunan Makmal Sains 4 tingkat. Majlis penyerahan ini dihadiri oleh Pengetua SMKUR Datin Hajjah Azimah bt Hj Alis, dan Guru Penolong Kanan HEM Pn.Norasikin bt Yahya selaku wakil sekolah, Jurutera Daerah Tuan Haji Zamri bin Mad Kasim, Jurutera Awam Encik Kalam bin Mohd.Nor, Penolong Jurutera Pn.Norli bt Othman dan Pn.Norliana bt Md.Yusof. Turut hadir wakil kontraktor bertanggung jawab iaitu Pembinaan Mat Taib Sdn.Bhd serta beberapa kakitangan organisasi masing-masing. Majlis bermula dengan pertemuan tiga pihak iaitu pihak sekolah yang diketuai oleh Datin Hajjah Azimah bt Hj Alis, Pengetua SMKUR, wakil JKR Daerah Rembau diketuai oleh Juruteranya Tuan Haji Zamri bin Mat Kasim dan wakil Pembinaan Mat Taib Sdn.Bhd. Datin Hajjah Azimah mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada JKR Daerah Rembau dan Pembinaan Mat Taib Sdn.Bhd kerana berjaya menyiapkan makmal ini dalam tempoh yang ditetapkan. Makmal ini mula dibina pada April 2008 dan siap pada awal Disember 2009. Makmal yang berharga RM2.9 juta ini menempatkan Makmal Sains Teras iaitu Biologi, Fizik dan Kimia, dua bilik makmal Sains Teras, satu bilik Makmal Tingkatan 3, satu bilik Makmal Matematik dan satu bilik Makmal Bahasa Melayu. Datin Hajjah Azimah berharap, makmal baru ini nanti akan menyuntik semangat kepada guru-guru dan pelajar-pelajar untuk lebih gigih berusaha menaikkan prestasi kademik sekolah ini. Beliau juga berharap pencapaian pelajar-pelajar akan lebih baik pada masa akan datang.




Fakta Makmal Baru :

No.Kontrak : JKR / NS / P / R / 014 / 2008
Harga : RM 2.9 juta
Kontraktor : Pembinaan Mat taib Sdn.Bhd.
Mula : 9 April 2008
Serah : 15 Disember 2009

Wednesday, December 9, 2009

Mesyuarat Guru Sesi Persekolahan 2010

Tarikh : 23 Disember 2010
Masa : 08.00 pagi
Tempat : Bilik Gerakan SMK Undang Rembau

Semua Guru SMKUR diwajibkan hadir.

Sunday, December 6, 2009

Perpustakaan SMKUR Dulu.....

Januari - April 2009. Beginilah keadaan Perpustakaan SMKUR yang dipindahkan dari tingkat 2 bangunan Blok H ke Bangunan Bilik Guru. Dengan Kerjasama dari guru-guru, pekerja swasta, pelajar-pelajar SMKUR dan PKG Rembau, PKG Kota dan PKG Tampin, proses perpindahan berjalan lancar.






Tuesday, December 1, 2009

Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Sukan

Rabu, 19 November 2009 - SMK Undang Rembau telah menerima sumbangan peralatan sukan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis bermula dengan sukaneka di antara pelajar SMKUR dan Pelajar UKM di padang SMKUR. Majlis penyerahan sumbangan diadakan di Bilik Gerakan SMKUR dihadiri oleh pegawai-pegawai dari UKM, Pengetua, guru-guru dan pelajar SMKUR yang terlibat. Penyerahan simbolik dilakukan oleh Pengarah Sukan UKM kepada Datin Hajjah Azimah bt Haji Alis, Pengetua SMKUR. Dalam ucapannya, Pengarah Sukan UKM berkata ini adalah salah satu aktiviti UKM untuk membantu meningkatkan pencapaian sukan di sekolah-sekolah. Datin Hajjah Azimah mengucapkan terima kasih kepada UKM dan berharap kerjasama seumpama ini akan diteruskan di masa-masa akan datang.


Ucapan Pengetua dan Pengarah Sukan UKM


Peserta yang hadir


Upacara Penyerahan Peralatan Sukan



Sukaneka antara Pelajar SMKUR dan Pelajar UKM


Sesi Bergambar