Friday, March 5, 2010

Sambutan Maulidur Rasul SMKUR

Jumaat, 5 Mac 2010 - Panitia Pendidikan Islam SMK Undang Rembau telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul tahun 1431H di Tapak Perhimpunan SMK Undang Rembau. Majlis ini dihadiri oleh Pengetua SMKUR, Datin Hajjah Azimah bt Hj Alis, semua guru-guru dan pelajar-pelajar yang beragama Islam. Acara dimulakan dengan Bacaan Selawat yang diketuai oleh Ustaz Haji Aiman bin Mokhtar. Ceramah Maulidur Rasul pula disampaikan oleh Ustaz Ibrahim bin Kassim dari Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.
Berikut adalah intipati ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Ibrahim bin Kassim.


Bertuahnya menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W. Umat Islam akhir zaman yang dapat mengecapi nikmat Islam tanpa perlu berperang seperti para pejuang Islam terdahulu. Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita sepatutnya bersyukur atas perutusan Nabi Muhammad S.A.W yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Baginda Rasul lahir ke dunia untuk menyebarkan syiar Islam dan meninggalkan kita dua pusaka iaitu kitab suci al-Quran dan Hadis. Sepatutnya, dua pusaka ini dapat menjadi panduan umat Islam di muka bumi. Namun apa yang berlaku, umat akhir zaman ini terlalu leka dan lalai dengan urusan duniawi. Mereka juga terlalu alpa dengan maksiat dan keseronokan yang akhirnya menyesatkan akidah dan kepercayaan terhadap Allah dan Islam.

Walaupun umat Nabi Muhammad S.A.W melakukan kerosakan demi kerosakan, kemungkaran demi kemungkaran, umat Nabi Muhammad ini masih diberi peluang untuk menginsafinya dan bertaubat. Tidak seperti ubat Nabi Luth A.S, Allah terus menurunkan bala ke atas mereka atas kemungkaran yang mereka lakukan. Bala yang diturunkan itu membinasakan mereka lenyap dari muka bumi ini.

Satu persatu bencana alam telah berlaku pada akhir-akhir ini. Tsunami, gempa bumi, ribut taufan di sana sini dan bermacam lagi fenomena alam yang lain. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa ia sebenarnya adalah tanda kemurkaan Allah atas segala kerosakan yang dilakukan oleh manusia. Kisah Masjid Baiturrahman yang berdiri teguh ketika kejadian tsunami dan makam ulama Islam Acheh Malikul Salih yang terselamat dari bencana itu, sepatutnya menjadi bukti jelas tentang kekuasaan dan kebesaran Allah serta kebenaran Islam.

Cerita tetang kebesaran Allah ini juga banyak disebut dalam kitab suci al-Quran. Kisah Namrud yang membakar Nabi Ibrahim A.S yang akhirnya mati apabila telinganya dimasuki seekor nyamuk, atau kisah tentera Abrahah yang dikalahkan dengan burung Ababil yang membawa batu-batu dari tanah yang terbakar dan kisah kaum Musyrikin Mekah yang hebat dalam berhujah logik, tetapi tetap tewas dengan dengan kekuasaan Allah ; semuanya membuktikan bahawa Allah itu Maha Besar dan Maha Berkuasa.

Dunia Islam hari ini bukan sahaja dicabar oleh musuh Islam malah orang Islam sendiri. Umat Islam yang tidak segan silu melakukan kerosakan dan kemungkaran sebenarnya telah mencemarkan kesucian Islam. Walaupun mereka tahu bahawa azab neraka itu amat pedih, namun mereka masih melakukan pelbagai kerosakan dan kemungkaran. Sesungguhnya, hukuman Allah itu adalah pasti dan mereka pasti akan menerima balasan dan azab di alam barzakh dan di akhirat kelak.

Dewasa ini juga, dunia melihat Islam sebagai musuh. Orientalis Barat begitu teruja untuk menghapuskan umat Islam. Namun mereka sedar bahawa umat Islam tidak mampu dihapuskan dengan persenjataan moden. Ini kerana umat Islam masih berpegang kuat terhadap al-Quran. Oleh yang demikian, mereka cuba menimbulkan keraguan terhadap kepercayaan dan keimanan umat Islam terhadap al-Quran. Satu-persatu ayat Al-Quran dikaji. Namun kesucian kitab Allah ini tetap terpelihara dengan fakta-fakta sains yang menyokong kebenaran ayat-ayat al-Quran itu tadi.

Segala kisah yang tertulis dalam kitab al-Quran dan segala bencana yang berlaku akhir-akhir ini, sepatutnya dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam. Peluang nikmat umur yang masih bersisa mestilah digunakan untuk bertaubat dan kembali ke jalan Islam yang benar. Justeru itu, umat Islam akhir zaman ini mestilah menghayati ajaran Islam yang sebenar-benarnya dan menegakkan Islam di muka bumi Allah ini berpandukan al-Quran dan hadis tinggalan Nabi Muhammad S.A.W. Dengan itu, barulah kesucian dan kebenaran Islam dapat dipelihara. Semoga Allah membukakan mata dan hati kita untuk melihat kebesaran dan keagungan Allah dan menjadikannya sebagai iktibar dan panduan hidup sebagai umat Islam yang sejati.

0 comments: